" Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumNya) : " Iaitu orang -orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." ( Surah Ali 'Imran, ayat 91 ). Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.
Ummul Mukminin 'Aisyah R.Ha pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah ( berzikir kepada Allah ) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, berbaring, duduk, dan bermacam-macam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib ( sepupu Rasulullah ), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasulullah SAW sebaik saja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, " Allah menjadikan rupa paras mu seiras dengan Allah menciptakan daku." Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus di ta'birkan dengan menari-nari di hadapan Rasulullah SAW. tingkahlaku beliau itu atau body language beliau tidak ditegah atau ditegur Rasulullah SAW.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarekat atau golongan sufiyyah, ada sandarannya. Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulamak besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya. Ditanya Syaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan. Ditanya al-A'llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama maka beliau menjawab dengan membolehkannya. Ditanya ulamak besar dalam mazhab hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, 'tidak mengapa dan boleh dilakukan.' Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat di Surah Ali Imran di atas beserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar Abi Talib.
Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang syahwat dan lain-lain. Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan. Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah). Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahui, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokkan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.
Inilah yang disebut dalam al-Quran (mafhumnya) : (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah." Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah ar-Ra'd, ayat 28). Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita'birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah SWT. Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi ini adalah harus.
Rasulullah SAW dan pandangan ulamak muktabar, maka saya menyatakan ianya harus dan bukanlah haram. Wallahua'lam."
Dato' Dr Harun Din
Terpegun,
1 comment:
alhamdulillah.
baru tau pasal ni.
thanks
Post a Comment