Banyak perkara yang telah, sedang dan akan berlaku dalam kehidupan kita. Segala yang telah lepas takkan mungkin kembali, menjadi kenangan dan ingatan sampai mati. Segala yang sedang berlaku akan menjadi kenangan hari esok manakala segala yang akan berlaku belum pasti dan di luar ilmu kita. Kita bisa meneka dan membuat andaian, namun belum tentu tepat dan mungkin meleset sama sekali.
“Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui”
Itulah kehidupan, ciptaan Tuhan. Kadang-kadang kita terlalu menyesali apa yang telah berlalu dan terlalu risau akan apa yang bakal datang sehinggakan kita terlepas pandang apa yang sedang berlaku. Kita hilang fokus dan terus menerus menyesali diri sehingga segala yang sedang berlaku terus berlalu. Acap kali juga kita menjadi sangat risau akan hari esok sehinggakan takut untuk menghadapi apa yang sedang berlaku. Seringkali juga kita terlupa bahawa Allah punya Ketentuan. Ketentuan Allah pasti ada hikmahnya, dalam sedar ataupun tidak.
Pernahkah timbul persoalan dalam hidup kita, “ah, kenapa jadi macam ni? Tak sepatutnya jadi begini”. Tapi setelah ia berlaku, kita menjawab kepada diri sendiri, “Oh, nasib baik jadi macam tu, kalau tak, tak tahulah macam mana…” Itulah Hikmah Allah yang jarang kita yakini dan syukuri.
Bukan Tidak Berusaha
Bukannya hikmah-hikmah yang tersembunyi ini bertujuan untuk membuatkan kita malas dan tidak mahu berusaha ke arah lebih baik, tetapi supaya kita merasakan bahawa ada kuasa yang mengetahui segala-galanya dan mengatur kehidupan kita. Supaya kita sedar bahawa kita ada pencipta dan kita tak hidup sebatang kara tanpa pengawasan dan pengetahuan sesiapa. Hikmah sebalik ketentuan mengajar kita menginsafi akan kehebatan ilmu Allah yang menjangkau pengetahuan kita. Mengajar kita menerima takdir dan meneruskan kehidupan dengan pergantungan hanya kepada Allah. Tidak lemah dan tidak bersedih hati atas segala bencana yang menimpa dan sentiasa mengembalikan kepada Allah atas setiap urusan.
Berlaku adil pada ketentuan
Apakah perbezaan antara kebetulan dan suratan/ketentuan? Satu persoalan yang seringkali keluar daripada mulut saya saat mendengarkan lagu “Suratan atau Kebetulan”.
Apabila kita mendapat bencana dan kesusahan, kita sering merasa marah dan tidak aman. Kadang-kadang kita merasa Tuhan tidak adil dan tidak memberikan kita balasan yang selayaknya.
Namun apabila kita mendapat nikmat dan kesenangan, ramai yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih. Jauh sekali mengatakan segalanya daripada Tuhan dan dialah tempat bergantung yang sesungguhnya. “Ini semua hasil usaha aku, akulah yang layak berbangga dengan pencapaian ini”. Tak semua, namun kebanyakannya.
Apakah kita tidak dapat berlaku adil dalam menghadapi antara dua ketentuan ini?
Akhir kalam, yakinlah bahawa Allah lah yang lebih mengetahui segala-galanya, lebih daripada kita mengetahui sesuatu. Bahkan Allah lebih mengenali kita daripada diri kita sendiri.
Di sebalik setiap ketentuan, binalah kekuatan dan jadilah lebih baik!
Note: Diambil dari blog Zulkifli Yunus....nak terbang teleport ke page beliau sila ke gambar kedua dalam blog ini...harap maklum
Yang bergembira,
Related Posts : agama,
renungan
No comments:
Post a Comment