Follower Blog Remaja Elit

Friday 21 December 2012

Berkongsi Ilmu Agama Dahulu Atau Amalkan Dahulu

Berkongsi ilmu agama

Berkongsi ilmu agama dahulu atau amalkan dahulu? Itu antara dilema pemuda kita dalam berdakwah.

“Saya tidak layak menjadi blogger. Takut apa yang kita tulis, terkena batang hidung sendiri” jawab Ali (bukan nama sebenar).

“Saya bukan tak nak terima jawatan exco ni. Tapi, rasa macam tak layaklah. Banyak kekurangan lagi” balas Hafiz memberi alasan untuk menolak jawatan Exco Rohani persatuan.

“Aku tak nak jadi ustaz sebab takut jadi hipokrit. Cakap tak serupa bikin” rumus Ahmad tentang kerjaya ustaz.

Ini antara perbualan-perbualan yang sering saya jumpa dalam hidup saya sebagai pelajar mahupun mahasiswa.



Idea Yang Idealistik
Secara zahirnya, perbualan ini nampak betul tetapi terlalu idealistik. Maksudnya, ianya sukar untuk dipraktikkan.

Jika, semua para ustaz dan ustazah itu perlu menjadi malaikat dahulu, baru boleh berkongsi ilmu agama, maka, berapa kerat sahaja yang akan berdakwah dan memandaikan masyarakat?

Sedangkan, bilangan penduduk dunia pada hari ini semakin hari semakin bertambah! Mengikut bancian, penduduk dunia pada hari ini sudah mencapai 7 bilion orang dan bilangan ini akan bertambah dari tahun ke tahun.

Bayangkan, bagaimana dengan bilangan manusia yang semakin bertambah, kita meminggirkan diri untuk mendidik dan mengajar mereka?

Begitu juga masalah yang dihadapi oleh mereka. Setiap hari, kehidupan kita menjadi lebih kompleks. Banyak isu baru yang perlu dicari penyelesaian. Masyarakat tertunggu-tunggu jawapannya.



Pandangan Serong Mad’u
Mad’u ialah orang yang diseru oleh pendakwah. Pandangan serong terhadap kerja dakwah ini bukan berlaku pada diri pelajar agama ‘yang berasa tidak layak’ sahaja tetapi juga kepada mad’u yang suka menghukum orang.

“Hek eleh, tegur-tegur orang konon. Ingat diri dia tu baik sangat? Macamlah tak pernah buat dosa ! ” sindir Azmi dengan nada yang kuat. Sengaja ingin menyakitkan hati kawannya yang suka menasihatinya.

“Orang hipokrit dah datang ! Hendak ajak solat ni !” laung Razin apabila berselisih dengan sekumpulan pelajar tabligh di asrama.



Pesan Nabi s.a.w.
“ Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat” Riwayat Bukhari.

“ Agama itu nasihat” Riwayat Muslim.

Kedua-dua hadis ini sudah cukup untuk menggambarkan besarnya kerja menyampaikan ilmu agama Allah ini. Bahkan agama itu sendiri adalah nasihat!



Sebab Kita Perlu Sampaikan Ilmu Yang Ada Secepat Mungkin
1 Tugas Kita. Kita ditugaskan menjadi pewaris kepada tugas-tugas Nabi s.a.w. Tugasnya adalah menyampaikan nasihat-nasihat kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi yang belajar ilmu agama, mereka patut bersedia untuk menggalas kewajipan ini.

2 Sifat Manusia Yang Lalai. Orang hari ini bukan jahil tetapi lalai. Mereka tahu tapi buat-buat tidak tahu. Semuanya penangan hawa nafsu dan syaitan yang menghasut. Jadi, tugas kitalah menyedarkan mereka untuk kembali ke landasan yang benar.

3 Proses Mematangkan Ilmu. Ramai yang tahu kuasa berkongsi ini. Ilmu kita menjadi matang apabila kita berkongsi dan menyampaikan kepada orang lain. Jikalau dibiarkan di dalam dada semata-mata, ilmu itu mentah dan lama-lama rosak. Itu perumpamaannya.

Kesimpulan
Oleh itu, berkongsilah ilmu itu. Jikalau mampu amalkannya dan dalam masa yang sama menyampaikannya kepada mad’u, maka itu lebih baik. Jika tidak, jangan teragak-agak untuk sampaikannya, semoga ianya memberi manfaat kepada orang lain.

Perkongsian Manis Dari:  Sumber

No comments:

ShareThis